11: SYARAT YANG PERLU UNTUK MELAKUKAN ZIKIR Salah satu syarat
Salah satu syarat menyediakan seseorang untuk berzikir ialah berada di dalam keadaan berwuduk; basuh dan bersihkan tubuh badan dan sucikan hati. Pada peringkat permulaan, supaya zikir itu berkesan,
![]() |
Syekh Abdul qadir jaelaniy |
perlulah disebut kuat-kuat akan perkataan
dan ayat yang dijadikan zikir – kalimah tauhid, sifat-sifat Allah. Bila
perkataan tersebut diucapkan usahakan agar kamu berada di dalam kesedaran
(tidak lalai). Dengan cara ini hati mendengar ucapan zikir dan diterangi oleh
apa yang dizikirkan. Ia menerima tenaga dan menjadi hidup – bukan sahaja hidup
di dunia ini bahkan juga hidup abadi di akhirat.
“Mereka
tidak akan merasa padanya kematian, hanya kematian pertama, dan Dia pelihara
mereka daripada azab jahanam”. (Surah Dukhaan, ayat 56).
Nabi s.a.w
menceritakan bahawa keadaan orang mukmin yang mencapai yang hak melalui zikir,
“Orang mukmin tidak mati. Mereka hanya meninggalkan hidup yang sementara ini
dan pergi kepada kehidupan abadi”. Dan mereka lakukan di sana apa yang mereka
lakukan dalam dunia. Nabi s.a.w bersabda, “Nabi-nabi dan orang-orang yang
hampir dengan Allah terus beribadat di dalam kubur seperti yang mereka lakukan
di dalam rumah mereka”. Ibadat yang dimaksudkan itu adalah penyerahan dan
merendahkan diri rohani kepada Allah bukan sembahyang yang lima waktu sehari.
Tawaduk yang di dalam diri, dengan diam, adalah nilai utama yang menunjukkan
iman yang sejati.
Makrifat
tidak dicapai oleh manusia dengan usaha tetapi ia adalah anugerah dari Allah.
Setelah dinaikkan kepada makam tersebut orang arif menjadi akrab dengan
rahsia-rahsia Allah. Allah membawa seseorang kepada rahsia-rahsia-Nya apabila
hati orang itu hidup dan sedar dengan zikir atau ingatan kepada-Nya dan jika
hati yang sedar itu bersedia menerima yang hak. Nabi s.a.w bersabda, “Mataku
tidur tetapi hatiku jaga”.
Pentingnya
memperolehi makrifat dan hakikat diterangkan oleh Nabi s.a.w, “Jika seseorang
berniat mempelajari dan beramal menurut keinginannya itu tetapi mati sebelum
mencapai tujuannya, Allah melantik dua orang malaikat sebagai guru yang
mengajarnya ilmu dan makrifat sampai ke hari kiamat. Orang itu dibangkitkan
dari kuburnya sebagai orang arif yang telah memperolehi hakikat”. Dua orang
malaikat di sini menunjukkan roh Nabi Muhammad s.a.w dan cahaya cinta yang
menghubungkan insan dengan Allah. Pentingnya niat dan hajat selanjutnya
diceritakan oleh Nabi s.a.w, “Ramai yang berniat belajar tetapi mati ketika
masih di dalam kejahilam tetapi mereka bangkit daripada kubur pada hari
pembalasan sebagai orang arif. Ramai ahli ilmu dibangkitkan pada hari itu dalam
keadaan rosak akhlak hilang segalanya dan jahil keseluruhannya”. Mereka adalah
orang-orang yang bermegah dengan ilmu mereka, yang menuntut ilmu kerana
muslihat duniawi dan berbuat dosa. Mereka diberi amaran:
“Dan
(ingatkanlah mereka) hari yang akan dibawa orang-orang kafir ke neraka (dan
dikata), ‘Kami telah habiskan bahagian kamu yang baik di dalam penghidupan
dunia. Dan kamu telah bersuka-sukaan dengannya. Maka pada hari ini kamu akan
dibalas dengan azab yang keji lantaran kamu pernah berlaku sombong di dunia
secara tidak benar dan lantaran kamu telah melewati batas”. (Surah Ahqaaf, ayat
20).
Nabi s.a.w
bersabda, “Setiap amal bergantung pada niat. Niat dan tujuan orang beriman
lebih baik dan bernilai pada pandangan Allah daripada amalannya. Niat orang
yang tidak beriman lebih buruk daripada apa yang nyata dengan amalannya”. Niat
adalah asas amalan. Nabi s.a.w, “Adalah baik membena kerja kebajikan di atas
tapak yang baik, dan dosa adalah perbuatan yang dibina di atas tapak yang
jahat”.
“Barangsiapa
hendak ke taman akhirat Kami tambah untuknya pada ke tamannya, dan barangsiapa
mahu ke taman dunia Kami akan beri kepadanya sebahagian daripadanya, tetapi
tidak ada baginya bahagian akhirat”. (Surah Syura, ayat 20).
Cara terbaik
ialah mencari guru kerohanian yang akan membawa hati kamu hidup. Ini akan
menyelamatkan kamu di akhirat. Ini adalah penting; ia mesti dilakukan segera
ketika masih hidup. Dunia ini kebun akhirat. Orang yang tidak menanam di sini
tidak boleh menuai di sana. Jadi, bercucuk tanamlah di dalam dunia ini dengan
benih yang diperlukan untuk kesejahteraan hidup di sini dan juga di akhirat.
https://www.dailymotion.com/video/x9kfwxo
0 comments:
Posting Komentar