KISAH NABI ISMAIL A.S.
Nabi Ibrahim yang berhijrah meninggalkan Mesir bersama
Sarah, isterinya dan Hajar, dayangnya di tempat tujuannya di Palestin. Ia telah
membawa pindah juga semua binatang ternakannya dan harta miliknya yang telah
diperolehinya sebagai hasil usaha niaganya di Mesir.
Al-Bukhari meriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a. berkata:
"Pertama-tama yang menggunakan setagi {setagen} ialah
Hajar ibu Nabi Ismail tujuan untuk menyembunyikan kandungannya dari Siti Sarah
yang telah lama berkumpul dengan Nabi Ibrahim a.s. tetapi belum juga hamil.
Tetapi walaubagaimana pun juga akhirnya terbukalah rahsia yang disembunyikan
itu dengan lahirnya Nabi Ismail a.s. Dan sebagai lazimnya seorang isteri
sebagai Siti Sarah merasa telah dikalahkan oleh Siti Hajar sebagai seorang
dayangnya yang diberikan kepada Nabi Ibrahim a.s. Dan sejak itulah Siti Sarah merasakan
bahawa Nabi Ibrahim a.s. lebih banyak mendekati Hajar kerana merasa sangat gembira
dengan puteranya yang tunggal dan pertama itu, hal ini yang menyebabkan permulaan
ada keratakan dalam rumahtangga Nabi Ibrahim a.s. sehingga Siti Sarah merasa
tidak tahan hati jika melihat Siti Hajar dan minta pada Nabi Ibrahim a.s.
supaya menjauhkannya dari matanya dan menempatkannya di lain tempat."
Untuk sesuatu hikmah yang belum diketahui dan disadari oleh
Nabi Ibrahim Allah s.w.t. mewahyukan kepadanya agar keinginan dan permintaan
Sarah isterinya dipenuhi dan dijauhkanlah Ismail bersama Hajar ibunya dan Sarah
ke suatu tempat di mana yang ia akan tuju dan di mana Ismail puteranya bersama
ibunya akan ditempatkan dan kepada siapa akan ditinggalkan.
Maka dengan tawakkal kepada Allah berangkatlah Nabi Ibrahim
meninggalkan rumah membawa Hajar dan Ismail yang diboncengkan di atas untanya
tanpa tempat tujuan yang tertentu. Ia hanya berserah diri kepada Allah yang
akan memberi arah kepada binatang tunggangannya. Dan berjalanlah unta Nabi
Ibrahim dengan tiga hamba Allah yang berada di atas punggungnya keluar kota
masuk ke lautan pasir dan padang terbuka di mana terik matahari dengan pedihnya
menyengat tubuh dan angin yang kencang menghembur-hamburkan debu-debu pasir.
Ismail dan ibunya Hajar ditinggalkan di Makkah
Setelah berminggu-minggu berada dalam perjalanan jauh yang
memenatkan, tibalah pada akhirnya Nabi Ibrahim bersama Ismail dan ibunya di
Makkah kota suci dimana Kaabah didirikan dan menjadi kiblat manusia dari
seluruh dunia. Di tempat di mana Masjidil Haram sekarang berada, berhentilah
unta Nabi Ibrahim mengakhiri perjalanannya dan di situlah ia meninggalkan Hajar
bersama puteranya dengan hanya dibekali dengan serantang bekal makanan dan
minuman sedangkan keadaan sekitarnya tiada tumbuh-tumbuhan, tiada air mengalir,
yang terlihat hanyalah batu dan pasir kering. Alangkah sedih dan cemasnya Hajar
ketika akan ditinggalkan oleh Ibrahim seorang diri bersama dengan anaknya yang
masih kecil di tempat yang sunyi senyap dari segala-galanya kecuali batu gunung
dan pasir. Ia seraya merintih dan menangis, memegang kuat-kuat baju Nabi
Ibrahim memohon belas kasihnya, janganlah ia ditinggalkan seorang diri di
tempat yang kosong itu, tiada seorang manusia, tiada seekor binatang, tiada
pohon dan tidak terlihat pula air mengalir, sedangkan ia masih menanggung beban
mengasuh anak yang kecil yang masih menyusu. Nabi Ibrahim mendengar keluh kesah
Hajar merasa tidak tergamak meninggalkannya seorang diri di tempat itu bersama
puteranya yang sangat disayangi akan tetapi ia sedar bahwa apa yang dilakukan
nya itu adalah kehendak Allah s.w.t. yang tentu mengandungi hikmat yang masih
terselubung baginya dan ia sedar pula bahawa Allah akan melindungi Ismail dan ibunya
dalam tempat pengasingan itu dan segala kesukaran dan penderitaan.
Ia berkata kepada
Hajar:
"Bertawakkallah kepada Allah yang telah menentukan
kehendak-Nya, percayalah kepada kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya. Dialah yang
memerintah aku membawa kamu ke sini dan Dialah yang akan melindungi mu dan
menyertaimu di tempat yang sunyi ini. Sesungguh kalau bukan perintah dan
wahyunya, tidak sesekali aku tergamak meninggalkan kamu di sini seorang diri
bersama puteraku yang sangat ku cintai ini. Percayalah wahai Hajar bahwa Allah
Yang Maha Kuasa tidak akan melantarkan kamu berdua tanpa perlindungan-Nya. Rahmat
dan barakah-Nya akan tetap turun di atas kamu untuk selamanya, insya-Allah."
Mendengar kata-kata Ibrahim itu segeralah Hajar melepaskan
genggamannya pada baju Ibrahim dan dilepaskannyalah beliau menunggang untanya
kembali ke Palestin dengan iringan air mata yang bercurahan membasahi tubuh
Ismail yang sedang menetak. Sedang Nabi Ibrahim pun tidak dapat menahan air
matanya keetika ia turun dari dataran tinggi meninggalkan Makkah menuju kembali
ke Palestin di mana isterinya Sarah dengan puteranya yang kedua Ishak sedang
menanti. Ia tidak henti-henti selama dalam perjalanan kembali memohon kepada
Allah perlindungan, rahmat dan barakah serta kurniaan rezeki bagi putera dan
ibunya yang ditinggalkan di tempat terasing itu.
Ia berkata dalam
doanya:" Wahai Tuhanku! Aku telah tempatkan puteraku dan anak-anak
keturunannya di dekat rumah-Mu (Baitullahil Haram) di lembah yang sunyi dari
tanaman dan manusia agar mereka mendirikan solat dan beribadat kepada-Mu.
Jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan berilah mereka
rezeki dari buah-buahan yang lazat, mudah-mudahan mereka bersyukur
kepada-Mu."
Mata air Zamzam
Sepeninggal Nabi Ibrahim tinggallah Hajar dan puteranya di
tempat yang terpencil dan sunyi itu. Ia harus menerima nasib yang telah
ditakdirkan oleh Allah atas dirinya dengan kesabaran dan keyakinan penuh akan
perlindungan-Nya. Bekalan makanan dan minuman yang dibawanya dalam perjalanan
pada akhirnya habis dimakan selama beberapa hari sepeninggalan Nabi Ibrahim.
Maka mulailah terasa
oleh Hajar beratnya beban hidup yang harus ditanggungnya sendiri tanpa bantuan
suaminya. Ia masih harus meneteki anaknya,namun air teteknya makin lama makin
mengering disebabkan kekurangan makan. Anak yang tidak dapat minuman yang
memuaskan dari tetek ibunya mulai menjadi cerewet dan tidak henti-hentinya
menangis. Ibunya menjadi panik, bingung dan cemas mendengar tangisan anaknya
yang sgt menyayat hati itu. Ia menoleh ke kanan dan ke kiri serta lari ke sana
ke sini mencari sesuap makanan atau seteguk air yang dapat meringankan kelaparannya
dan meredakan tangisan anaknya, namun sia-sialah usahanya. Ia pergi berlari
harwalah menuju bukit Shafa kalau-kalau ia boleh mendapatkan sesuatu yang dapat
menolongnya tetapi hanya batu dan pasir yang didapatnya disitu, kemudian dari
bukit Shafa
ia melihat bayangan air yang mengalir di atas bukit Marwah
dan larilah ia berharwahlah ke tempat itu namun ternyata bahawa yang
disangkanya air adalha fatamorangana {bayangan} belaka dan kembalilah ke bukit
Shafa karena mendengar seakan-akan ada suara yang memanggilnya tetapi gagal dan
melesetlah dugaannya. Demikianlah maka kerana dorongan hajat hidupnya dan hidup
anaknya yang sangat disayangi, Hajar mundar-mundir berlari sampai tujuh kali
antara bukit Shafa dan Marwah yang pada akhirnya ia duduk termenung merasa
penat dan hampir berputus asa.
Diriwayatkan bahawa selagi Hajar berada dalam keadaan tidak
berdaya dan hampir berputus asa kecuali dari rahmat Allah dan pertolongan-Nya
datanglah kepadanya malaikat Jibril bertanya: "Siapakah sebenarnya engkau
ini?" "Aku adalah hamba sahaya Ibrahim", jawab Hajar.
"Kepada siapa engkau dititipkan di sini?" tanya Jibril. "Hanya
kepada Allah",jawab Hajar. Lalu berkata Jibril: "Jika demikian, maka
engkau telah dititipkan kepada Dzat Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih, yang
akan melindungimu, mencukupi keperluan hidupmu dan tidak akan mensia-siakan
kepercayaan ayah puteramu kepada-Nya."
Kemudian diajaklah Hajar mengikutinya pergi ke suatu tempat
di mana Jibril menginjakkan telapak kakinya kuat-kuat di atas tanah dan
segeralah memancur dari bekas telapak kaki itu air yang jernih dengan kuasa
Allah. Itulah dia mata air Zamzam yang sehingga kini dianggap keramat oleh
jemaah haji, berdesakan sekelilingnya bagi mendapatkan setitik atau seteguk air
daripadanya dan kerana sejarahnya mata air itu disebut orang "Injakan Jibril".
Alangkah gembiranya dan lega dada Hajar melihat air yang
mancur itu. Segera ia membasahi bibir puteranya dengan air keramat itu dan
segera pula terlihat wajah puteranya segar kembali, demikian pula wajah si ibu
yang merasa sangat bahagia dengan datangnya mukjizat dari sisi Tuhan yang
mengembalikan kesegaran hidup kepadanya dan kepada puteranya sesudah
dibayang-bayangi oleh bayangan mati kelaparan yang mencekam dada.
Mancurnya air Zamzam telah menarik burung-burung
berterbangan mengelilingi daerah itu menarik pula perhatian sekelompok bangsa
Arab dari suku Jurhum yang merantau dan sedang berkhemah di sekitar Makkah.
Mereka mengetahui dari pengalaman bahawa di mana ada terlihat burung di udara,
nescaya dibawanya terdapat air, maka diutuslah oleh mereka beberapa orang untuk
memeriksa kebenaran teori ini. Para pemeriksa itu pergi mengunjungi daerah di
mana Hajar berada, kemudian kembali membawa berita gembira kepada kaumnya
tentang mata air Zamzam dan keadaan Hajar bersama puteranya. Segera sekelompok
suku Jurhum itu memindahkan perkhemahannya ke tempat sekitar Zamzam, di mana
kedatangan mereka disambut dengan gembira oleh Hajar kerana adanya sekelompok
suku Jurhum di sekitarnya, ia memperolehi jiran-jiran yang akan menghilangkan
kesunyian dan kesepian yang selama ini dirasakan di dalam hidupnya berduaan
dengan puteranya saja.
Hajar bersyukur kepada Allah yang dengan rahmatnya telah
membuka hati orang-orang itu cenderung datang meramaikan dan memecahkan
kesunyian lembah di mana ia ditinggalkan sendirian oleh Ibrahim.
Nabi Ismail dan Nabi Ibrahim membangun Ka’bah
Nabi Ismail dibesarkan di Makkah (pekarangan Kaabah).
Apabila dewasa beliau berkahwin dengan wanita daripada puak Jurhum. Walaupun
tinggal di Makkah, Ismail sering dikunjungi bapanya.
Pada satu ketika, bapanya menerima wahyu daripada Allah
supaya membina Kaabah. Perkara itu disampaikan kepada anaknya. Ismail berkata:
“Kerjakanlah apa yang diperintahkan Tuhanmu kepadamu dan aku akan membantumu
dalam pekerjaan mulia itu.”Ketika membina Kaabah, Nabi Ibrahim berkata kepada
Ismail: “Bawakan batu yang baik kepadaku untuk aku letakkan di satu sudut
supaya ia menjadi tanda kepada manusia.”Kemudian Jibril memberi ilham kepada
Ismail supaya mencari batu hitam untuk diserahkan kepada Nabi Ibrahim.Setiap
kali bangun, mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami, terimalah daripada kami (amalan
kami), sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”Bangunan
(Kaabah) itu menjadi tinggi dan Ibrahim makin lemah untuk mengangkat batu. Dia
berdiri di satu sudut, kini dikenali Makam Ibrahim.
Nabi Ibrahim sering berulang-alik mengunjungi anaknya. Pada
satu hari, beliau tiba di Makkah dan mengunjungi rumah anaknya.Bagaimanapun,
Ismail tiada di rumah ketika itu melainkan isterinya. Isteri Ismail tidak
mengenali orang tua itu adalah bapa Ismail.Apabila Nabi Ibrahim bertanya isteri
Nabi Ismail mengenai suaminya itu, beliau diberitahu anaknya keluar berburu.
Seterusnya Nabi Ibrahim bertanya keadaan mereka berdua. Isterinya berkata:
“Kami berada dalam kesempitan.”Nabi Ibrahim berkata: “Apakah kamu mempunyai
jamuan, makanan dan minuman?“ Dijawab isteri Ismail: “Aku tidak mempunyainya,
malah apa pun tiada.”Kelakukan isteri Nabi Ismail itu tidak manis dipandang
Nabi Ibrahim kerana kelihatan tidak reda dengan pemberian Allah dan jemu untuk
hidup bersama suaminya. Malah, dia kelihatan bersifat kedekut kerana tidak mengalu-alukan
kedatangan tetamu.Akhirnya Nabi Ibrahim berkata kepada isteri anaknya:
“Jika suamimu kembali, sampaikanlah salamku kepadanya dan
katakan kepadanya supaya dia menggantikan pintunya.”
Selepas itu Nabi Ibrahim beredar dari situ. Sejurus
kemudian, Nabi Ismail pulang ke rumah dengan hati gembira kerana dia menganggap
tiada perkara tidak diingini berlaku sepanjang ketiadaannya di rumah. Nabi
Ismail bertanya isterinya: “Apakah ada orang datang menemui kamu?“Isterinya
berkata: “Ya, ada orang tua kunjungi kita.” Ismail berkata: “Apakah dia mewasiatkan
sesuatu kepadamu?“ Isterinya berkata: “Ya, dia menyuruhku menyampaikan salam
kepadamu dan memintaku mengatakan kepadamu supaya menggantikan pintumu.”Ismail
berkata: “Dia adalah bapaku. Sesungguhnya dia menyuruhku supaya menceraikanmu,
maka kembalilah kepada keluargamu.”Selepas menceraikan isterinya, Nabi Ismail
berkahwin lain, kali ini dengan seorang lagi wanita daripada kaum Jurhum.
Isteri baru itu mendapat keredaan bapanya kerana pandai menghormati tetamu,
tidak menceritakan perkara yang menjatuhkan maruah suami dan bersyukur dengan
nikmat Allah. Ismail hidup bersama isteri barunya itu hingga melahirkan
beberapa anak.
Nabi Ismail mempunyai 12 anak lelaki dan seorang anak perempuan
yang dikahwinkan dengan anak saudaranya, iaitu Al-’Ish bin Ishak. Daripada
keturunan Nabi Ismail lahir Nabi Muhammad s.a.w. Keturunan Nabi Ismail juga
mewujudkan bangsa Arab Musta’ribah.
Nabi Ismail sebagai Qurban
Nabi Ibrahim dari masa ke semasa pergi ke Makkah untuk
mengunjungi dan menjenguk Ismail di tempat pengasingannya bagi menghilangkan
rasa rindu hatinya kepada puteranya yang ia sayangi serta menenangkan hatinya
yang selalu rungsing bila mengenangkan keadaan puteranya bersama ibunya yang
ditinggalkan di tempat yang tandus, jauh dari masyarakat kota dan pengaulan
umum.
Sewaktu Nabi Ismail mencapai usia remajanya Nabi Ibrahim
a.s. mendapat mimpi bahwa ia harus menyembelih Ismail puteranya. Dan mimpi
seorang nabi adalah salah satu dari cara-cara turunnya wahyu Allah, maka
perintah yang diterimanya dalam mimpi itu harus dilaksanakan oleh Nabi Ibrahim.
Ia duduk sejurus termenung memikirkan ujian yang maha berat yang ia hadapi.
Sebagai seorang ayah yang dikurniai seorang putera yang sejak puluhan tahun
diharap-harapkan dan didambakan, seorang putera yang telah mencapai usia di
mana jasa-jasanya sudah dapat dimanfaatkan oleh si ayah, seorang putera yang diharapkan
menjadi pewarisnya dan penyampung kelangsungan keturunannya, tiba-tiba harus
dijadikan qurban dan harus direnggut nyawa oleh tangan si ayah sendiri. Namun
ia sebagai seorang Nabi, pesuruh Allah dan pembawa agama yang seharusnya menjadi
contoh dan teladan bagi para pengikutnya dalam bertaat kepada Allah, menjalankan
segala perintah-Nya dan menempatkan cintanya kepada Allah di atas cintanya kepada
anak, isteri, harta benda dan lain-lain. Ia harus melaksanakan perintah Allah
yang diwahyukan melalui mimpinya, apa pun yang akan terjadi sebagai akibat
pelaksanaan perintah itu.
Sungguh amat berat ujian yang dihadapi oleh Nabi Ibrahim,
namun sesuai dengan firman Allah yang bermaksud: "Allah lebih mengetahui
di mana dan kepada siapa Dia mengamanatkan risalahnya". Nabi Ibrahim tidak
membuang masa lagi, berazam (niat) tetap akan menyembelih Nabi Ismail puteranya
sebagai qurban sesuai dengan perintah Allah yang telah diterimanya. Dan
berangkatlah serta merta Nabi Ibrahim menuju ke Makkah untuk menemui dan
menyampaikan kepada puteranya apa yang Allah perintahkan.
Nabi Ismail sebagai anak yang soleh yang sangat taat
kepada Allah dan bakti kepada orang tuanya, ketika diberitahu oleh ayahnya
maksud kedatangannya kali ini tanpa ragu-ragu dan berfikir panjang berkata
kepada ayahnya:
"Wahai ayahku! Laksanakanlah apa yang telah
diperintahkan oleh Allah kepadamu. Engkau akan menemuiku insya-Allah sebagai
seorang yang sabar dan patuh kepada perintah. Aku hanya meminta dalam
melaksanakan perintah Allah itu, agar ayah mengikatku kuat-kuat supaya aku
tidak banyak bergerak sehingga menyusahkan ayah, kedua agar menanggalkan
pakaianku supaya tidak terkena darah yang akan menyebabkan berkurangnya
pahalaku dan terharunya ibuku bila melihatnya, ketiga tajamkanlah parangmu dan
percepatkanlah perlaksanaan penyembelihan agar menringankan penderitaan dan
rasa pedihku, keempat dan yang terakhir sampaikanlah salamku kepada ibuku
berikanlah kepadanya pakaian ku ini untuk menjadi penghiburnya dalam kesedihan
dan tanda mata serta kenang-kenangan baginya dari putera tunggalnya."
Kemudian dipeluknyalah Ismail dan dicium pipinya oleh Nabi
Ibrahim seraya berkata:
"Bahagialah aku mempunyai seorang putera yang taat
kepada Allah, bakti kepada orang tua yang dengan ikhlas hati menyerahkan
dirinya untuk melaksanakan perintah Allah".
Saat penyembelihan yang mengerikan telah tiba. Diikatlah
kedua tangan dan kaki Ismail, dibaringkanlah ia di atas lantai, lalu diambillah
parang tajam yang sudah tersedia dan sambil memegang parang di tangannya, kedua
mata nabi Ibrahim yang tergenang air berpindah memandang dari wajah puteranya
ke parang yang mengilap di tangannya, seakan-akan pada masa itu hati beliau
menjadi tempat pertarungan antara perasaan seorang ayah di satu pihak dan
kewajiban seorang rasul di satu pihak yang lain. Pada akhirnya dengan
memejamkan matanya, parang diletakkan pada leher Nabi Ismail dan penyembelihan
di lakukan . Akan tetapi apa daya, parang yang sudah demikian tajamnya itu
ternyata menjadi tumpul dileher Nabi Ismail dan tidak dapat berfungsi
sebagaimana mestinya dan sebagaimana diharapkan.
Kejadian tersebut merupakan suatu mukjizat dari Allah yang
menegaskan bahwa perintah perkorbanan Ismail itu hanya suatu ujian bagi Nabi
Ibrahim dan Nabi Ismail sampai sejauh mana cinta dan taat mereka kepada Allah.
Ternyata keduanya telah lulus dalam ujian yang sangat berat itu. Nabi Ibrahim
telah menunjukkan kesetiaan yang tulus dengan perkorbanan puteranya. untuk
berbakti melaksanakan perintah Allah sedangkan Nabi Ismail tidak sedikit pun
ragu atau bimbang dalam memperagakan kebaktiannya kepada Allah dan kepada orang
tuanya dengan menyerahkan jiwa raganya untuk dikorbankan, sampai-sampai terjadi
seketika merasa bahwa parang itu tidak lut memotong lehernya, berkatalah ia
kepada ayahnya:" Wahai ayahku! Rupa-rupanya engkau tidak sampai hati memotong
leherku karena melihat wajahku, cubalah telangkupkan aku dan laksanakanlah
tugasmu tanpa melihat wajahku. "Akan tetapi parang itu tetap tidak berdaya
mengeluarkan setitik darah pun dari daging Ismail walau ia telah ditelangkupkan
dan dicuba memotong lehernya dari belakang.
Dalam keadaan bingung dan sedih hati, kerana
gagal dalam usahanya menyembelih puteranya, datanglah kepada Nabi Ibrahim wahyu
Allah dengan firmannya: "Wahai Ibrahim! Engkau telah berhasil melaksanakan
mimpimu, demikianlah kami akan membalas orang-orang yang berbuat
kebajikkan". Kemudian sebagai tebusan ganti nyawa, Ismail telah
diselamatkan itu, Allah memerintahkan Nabi Ibrahim menyembelih seekor kambing yang
telah tersedia di sampingnya dan segera dipotong leher kambing itu oleh beliau dengan
parang yang tumpul di leher puteranya Ismail itu. Dan inilah asal permulaan
sunnah berqurban yang dilakukan oleh umat Islam pada tiap Hari Raya Aidiladha
di seluruh pelosok dunia.