NABI SULAIMAN a.s. DENGAN KUBAH AJAIB
Pada suatu hari Nabi Allah Sulaiman telah menerima wahyu daripada Allah supaya pergi ke tepi pantai untuk menyaksikan suatu benda yang ajaib yang akan ditunjukkan kepada Nabi Sulaiman. Setelah bersiap sedia, Nabi Sulaiman berangkat ke tepi pantai yang di nyatakan di dalam wahyu. Baginda di iringi oleh kaum jin, manusia dan binatang.
Setibanya di pantai, Nabi Sulaiman terus mengintai-ngintai untuk mencari sesuatu seperti yang dikatakan oleh Allah. Setelah lama mencari ,baginda belum lagi menjumpai apa-apa. Kata salah seorang daripada mereka "Mungkin tersalah tempat". Tetapi baginda menjawab "Tidak, di sinilah tempatnya". Nabi Sulaiman mengarahkan Jin Ifrit supaya menyelam ke dalam laut untuk meninjau apa-apa yang pelik atau ajaib. Jin Ifrit menyelam agak lama juga barulah ia kembali kepada Nabi Sulaiman dan memaklumkan bahawa dia tidak menjumpai apa-apa benda yang ajaib. Tanya Nabi Sulaiman "Apakah kamu menyelam sehingga dasar laut" Jawab Jin Ifrit "Tidak". Nabi Sulaiman pun mengarahkan Jin Ifrit yang kedua supaya menyelam sehingga ke dasar laut.Setelah puas menyelam dan mencari benda-benda yang di katakan oleh NabiSulaiman, Jin Ifrit yang kedua juga tidak menjumpai apa-apa yang ajaib dan iamelaporkan kepada Nabi Sulaiman.
Perdana Menterinya yang bernama Asif bin Barkhiya telah berbisik ke telinga Nabi Sulaiman dan memohon kebenaran untuk menolongnya. Setelah mendapat izin Nabi Sulaiman, dia membaca sesuatu dan terus menyelam ke dalam laut.
Tidak lama kemudian Asif menjumpai sebuah kubah yang sangat cantik. Kubah tersebut mempunyai empat penjuru, setiap penjuru mempunyai pintu. Pintu pertama diperbuat daripada mutiara, pintu kedua diperbuat daripada zamrud berwarna merah, pintu ketiga diperbuat daripada jauhar dan pintu keempat diperbuat daripada zabarjad. Pintu-pintu tersebut terbuka luas, tetapi yang peliknya air tidak masuk ke dalam kubah tersebut walaupun pintunya terbuka luas.
Dengan kuasa yang diberikan oleh Allah, Asif dapat membawa kubah tersebut naik ke darat dan diletakkan di hadapan Nabi Sulaiman. Nabi Sulaiman melihat kubah tersebut dengan penuh takjub di atas kebesaran Allah. Baginda berangkat untuk melihat kubah tersebut, setelah menjenguk ke dalam di dapati ada seorang pemuda berada di dalamnya. Pemuda tersebut masih belum sedar walaupun kubahnya telah diangkat ke darat kerana asyik bermunajat kepada Allah. Nabi Sulaiman memberi salam kepada pemuda tersebut.
Pemuda tersebut menyambut salam dengan perasaan terkejutnya
apabila melihat orang ramai sedang berada di situ. Nabi Sulaiman
memperkenalkan dirinya kepada pemuda itu bahawa beliau adalah Nabi Allah
Sulaiman. Pemuda itu bertanya "Dari manakan mereka ini dan bagaimana
mereka datang?". Pemuda itu merasa hairan dan setelah menjenguk keluar dia
mendapati bahawa kubahnya telah berada di darat. Nabi Sulaiman
memberitahu pemuda itu bahawa mereka datang kerana diperintahkan oleh
Allah untuk melihat keajaiban yang dikurniakan Allah kepadanya.
Setelah mendapat izin dari pemuda itu Nabi Sulaiman meninjau ke dalamnya
untuk melihat benda yang ajaib yang dihiasi di dalamnya. Keindahan yang
terdapat di dalam kubah itu sungguh menakjubkan. Nabi Sulaiman bertanya
kepada pemuda tersebut bagaimana dia boleh berada di dalam kubah ini yang
terletak di dasar laut. Pemuda tersebut menceritakan bahawa dia telah
berkhidmat kepada kedua ibu bapanya selama 70 tahun. Bapanya seorang
yang lumpuh manakala ibunya pula seorang yang buta. Suatu hari ketika
ibunya hendak meninggal dunia, ibunya memanggilnya dan memaklumkan
bahawa ibunya telah rela di atas khidmat yang diberikan olehnya. Ibunya
berdoa kepada Allah supaya anaknya dipanjangkan umur dan sentiasa taat
kepada Allah. Setelah ibunya meninggal dunia, tidak lama kemudian bapanya
pula meninggal dunia. Sebelum bapanya meninggal dunia, bapanya juga telah
memanggilnya dan memaklumkan bahawa dia juga telah rela di atas khidmat
yang diberikan olehnya. Bapanya telah berdoa sebelum meninggal dunia
supaya anaknya di letakkan di suatu tempat yang tidak dapat diganggu oleh
syaitan.
Doa kedua dua orang tuanya telah dimakbulkan oleh Allah. Pada suatu hari
ketika pemuda tersebut bersiar-siar di tepi pantai ia terlihat sebuah kubah
yang sedang terapung-apung di tepi pantai. Ketika pemuda tadi menghampiri
kubah tersebut .
Ada suara menyeru supaya pemuda itu masuk ke dalam kubah tersebut. Sebaik
sahaja ia masuk kubah dan meninjau di dalamnya tiba-tiba ia bergerak dengan
pantas dan tenggelam ke dasar laut. Tidak lama kemudian muncul satu
lembaga seraya memperkenalkan bahawa dia adalah malaikat yang di utuskan
Allah. Malaikat itu memaklumkan bahawa kubah itu adalah kurniaan Allah
kerana khidmatnya kepada orang tuannya dan beliau boleh tinggal di dalamnya
selama mana dia suka, segala makan dan minum akan dihidangkan pada
bila-bila masa ia memerlukannya. Malaikat itu memaklumkan bahawa dia
diperintahkan Allah untuk membawa kubah tersebut ke dasar laut. Semenjak
dari itu pemuda tersebut terus bermunajat kepada Allah sehingga hari ini.
Nabi Sulaiman bertanya kepada pemuda itu "Berapa lamakah kamu berada di
dalam kubah ini" Pemuda itu menjawab "Saya tidak menghitungnya tetapi ia
mula memasukinya semasa pemerintahan Nabi Allah Ibrahim a.s lagi". Nabi
Sulaiman menghitung ". Ini bermakna kamu telah berada di dalam kubah ini
selama dua ribu empat ratus tahun". Nabi Sulaiman berkata "Rupa mu tidak
berubah malah sentiasa muda walaupun sudah dua ribu empat ratus tahun
lamanya". Nabi Sulaiman bertanya pemuda itu samada dia mahu pulang
bersamanya". Jawab pemuda tadi "Nikmat apa lagi yang harus aku pinta
selain daripada nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada ku ini". Nabi
Sulaiman bertanya"Adakah kamu ingin pulang ke tempat asal mu" Jawab
pemuda itu "Ya, silalah hantar aku ke tempat asalku". Nasi Sulaiman pun
memerintahkan Perdana Menterinya membawa kubah tersebut ke tempat
asalnya.
Setelah kubah tersebut diletakkan ke tempat asal, Nabi Sulaiman berkata
kepada kaumnya "Kamu semua telah melihat keajaiban yang dikurniakan oleh
Allah. Lihatlah betapa besar balasan yang Allah berikan kepada orang yang taat
kepada orang tuanya dan betapa seksanya orang yang menderhaka kepada
kedua ibu bapanya". Nabi Sulaiman pun berangkat pulang ke tempatnya dan
bersyukur kepada Allah Taala kerana telah memberi kesempatan kepadanya
untuk menyaksikan perkara yang ajaib.

0 comments:
Posting Komentar